Dua minggu lepas dalam segment CRS Usage Errors kami telah membincangkan bagaimana ibubapa kerap menukarkan anak mereka dari hadap-belakang ke hadap-depan terlalu awal.
Minggu ini, kami ingin menekankan tentang kesalahan sesetengah ibubapa yang meletakkan anak mereka secara hadap-belakang di tempat duduk penumpang hadapan yang mempunyai beg udara. Ini merupakan satu kesalahan besar dalam penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).
Jika anda perhatikan, terdapat beberapa peringatan dan tanda amaran berkenaan kesalahan ini pada kenderaan anda. Sebagai contoh, peringatan yang ditulis di dalam buku panduan kenderaan, tanda amaran pada papan pelindung matahari dan simbol “SRS Airbag” pada papan pemuka. Kepelbagaian peringatan dan amaran ini menunjukkan betapa seriusnya perkara ini.
Apa akan terjadi pada anak anda sekiranya berlaku kemalangan ketika dia berada dalam posisi ini?
Beg udara yang keluar pada kelajuan 320 km sejam akan menghentam belakang CRS menyebabkan CRS kemudiannya terlantun ke penyandar kerusi penumpang hadapan. Bahagian belakang kepala anak anda akan terkena gegaran yang dahsyat manakala mukanya akan tercedera teruk akibat menghentam penyandar kerusi. Kematian mungkin tidak dapat dielakkan.
⚠️ JANGAN SEKALI-KALI memasang CRS pada kedudukan hadap-belakang di tempat duduk yang mempunyai beg udara yang aktif ⚠️
Sentiasa patuhi arahan pemasangan CRS dan juga arahan pada buku panduan kenderaan. Kanak-kanak lebih selamat di tempat duduk penumpang belakang.
Jika anda ada melakukan kesilapan ini, UBAH IA SEKARANG dan maafkan diri anda kerana tidak tahu! Tolong beritahu rakan-rakan anda agar mereka juga faham akan perkara ini.